Ahad, 25 September 2016

PERPADUAN NEGARA DAN INTEGRASI NASIONAL


PENGENALAN

  Selepas kemerdekaan, negara telah menghadapi pelbagai masalah terutamanya masalah perpaduan dan integrasi antara kaum. Masalah ini wujud berpunca daripada pemisahan tempat tinggal, perbezaan pekerjaan, sistem pendidikan, kepercayaan atau agama, fahaman politik, masalah ekonomi dan sistem pemerintahan penjajah. Bagi menangani masalah ini, kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif. Antaranya ialah penyeragaman sistem pendidikan, integrasi ekonomi, penyatuan fahaman politik dan aspek-aspek sosial yang lain. Dasar Ekonomi Baru(DEB), Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Rukun Negara dibentuk untuk menyatukan masyarakat di Malaysia.

ASAS INTEGRASI DAN PERPADUAN NASIONAL

   Malaysia sebagai sebuah negara yang didiami oleh masyarakat yang berbilang kaum dengan pelbagai kebudayaan, agama, ideologi yang berlainan. Oleh itu, kedua-dua konsep ini amat penting bagi mewujudkan kesejahteraan antara kaum. Konsep perpaduan dan integrasi saling berkaitan, tetapi merujuk kepada dua proses yang berbeza.

   Perpaduan ialah penyatuan yang merangkumi aspek fizikal, sosial, ekonomi, politik tetapi tidak secara biologikal. Proses untuk mewujudkan satu identiti nasional didalam kalangan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Perpaduan negara diasaskan berdasarkan perlembagaan negara, prinsip rukun negara, keadilan politik, sosial dan ekonomi dan nilai murni yang diamalkan.

   Integrasi ialah proses penyatuan yang merangkumi semua aspek termasuk aspek biologikal seperti kahwin campur. Proses ini melibatkan dua atau lebih kumpulan masyarakat dan budaya. Proses ini juga akan melahirkan satu identiti dan budaya yang baharu. Dalam budaya baharu yang dilahirkan, perbezaan kebudayaan dan identiti masyarakat akan turut hilang.

Punca-punca berlakunya masalah perpaduan dan integrasi antara kaum




  Perpaduan adalah matlamat utama sesebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Hal ini kerana, apabila tiada perpaduan kaum ataupun tahap perpaduan yang sangat rendah, akan berlaku kekecohan atau pertelingkahan antara kaum seperti tragedi rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Hasil kajian yang dijalankan, masalah yang wujud ini boleh dikenal pasti melalui beberapa aspek yang meliputi ekonomi, politik dan sosial. Namun, apakah punca yang mewujudkan masalah ini?

  Masalah ini berpunca daripada beberapa aspek. Antaranya ialah pemisahan tempat tinggal. Pemisahan tempat tinggal akan menyebabkan etnik tidak saling memahami antara satu sama lain dan tidak wujud perpaduan dalam kalangan masyarakat. Masalah ini wujud kesan daripada dasar pemerintahan penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. British telah menetapkan tempat penempatan nagi setiap kaum yang menjadi tumpuan ekonomi masing-masing. Sebagai contoh, kaum Cina ditempatkan di kawasan perlombongan, manakala bagi kaum India pula, mereka ditempatkan di kawasan ladang-ladang getah. Di Sabah dan Sarawak pula, mereka pula terpisah kerana wujudnya perkampungan yang terdiri daripada rumah panjang kaum Iban dan kampung kaum kadazan. Ikatan hubungan juga sangat jauh dan berbeza dari segi agama, pendidikan, akhbar, persatuan dan pengaruh politik.  

  Selain itu,perbezaan pekerjaan juga menjadi punca perpaduan kaum. Aktiviti ekonomi yang berbeza tidak memungkinkan setiap kaum untuk bertemu dan bergaul. Ketika pemerintahan British, orang melayu kekal sebagai petani sara diri dan nelayan, orang cina bergiat aktif dalam sektor perlombongan sementara orang india pula dikekalkan di estet-estet.

  Seterusnya,punca berlakunya masalah perpaduan ialah pengasingan sistem pendidikan.Wujud kepelbagaian sekolah mengikut kaum yang berdasarkan tempat tinggal masing-masing.Bagi kaum melayu, hanya dua jenis sistem pendidikan yang dibenarkan iaitu sekolah vernakular Melayu ataupun sekolah beraliran Inggeris. Bagaimanapun, sekolah beraliran Inggeris hanya untuk anak-anak bangsawan. Silibus pembelajaran di sekolah Melayu hanya pendidikan asas(kemahiran hidup) kerana mereka tidak digalakkan untuk terlampau pandai dan menguasi bidang akademik.

  Bagi masyarakat India pula, sekolah-sekolah dibuka di estet-estet. Walaupun guru mereka dibawa khas dari India, namun mutu pengajaran mereka sangat rendah. Justeru, pelajar lepasan sekolah India tidak mungkin akan mendapat peluang pekerjaan yang baik dan terpaksa bekerja di estet-estet. Bagi kaum Cina pula, mereka mempunyai sistem pendidikan mereka yang tersendiri. Mereka sangat terkenal dengan tradisi mementingkan pendidikan anak-anak. Guru-guru dan buku dibawa masok dari negara China. Pelajar Cina lebih mementingkan pergolakan politik, ekonomi dan sosial yang berlaku di negara China berbanding dengan Tanah Melayu. Di Sabah dan Sarawak pula, pendidikan memang tidak diberikan kepada penduduk. Di Sarawak, keluarga Brooke merasakan pendidikan kepada anak-anak orang Dayak tidak penting kerana akan merosakkan kebijaksanaan semulajadi mereka. 

  Masalah ekonomi juga menjadi punca masalah perpaduan. Ketidakseimbangan pendapatan menyebabkan setiap kaum saling mencemburui antara satu sama lain. Sebagai contoh, orang Melayu mencemburui kemewahan dan kejayaan orang Cina ,sementara orang Cina dan India pula mencemburui kelebihan orang Melayu mendapat peluang perkhidmatan dalam sektor-sektor pentadbiran awam.

  Akhir sekali,masalah perpaduan juga berpunca daripada perbezaan kepercayaan atau agama. Setiap kaum menganut agama yang berbeza-beza seperti Melayu beragamakan Islam, India beragama Hindu dan Cina beragama Buddha. Selain masyarakat di Semenanjung,ramai kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak pula menganut agama Kristian.Oleh itu, sukar untuk membentuk perpaduan sekiranya tiada sifat tolak ansur bagi setiap kaum dengan fahaman agama kaum lain.


LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENANGANI MASALAH PERPADUAN

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi menangani masalah perpaduan yang wujud. Antara langkah yang diambil ialah penyeragaman sistem pendidikan. Tujuan utamanya ialah bagi memupuk dan menyemai semangat perpaduan dikalangan pelajar dengan menyeragamkan pendidikan dan kurikulum. Selain itu, kerajaan turut melancar Dasar Ekonomi Baru untuk mengurangkan jurang kemiskinan dan seimbang dibandar dan luar bandar. Penyatuan fahaman politik turut dilaksanakan bagi mewujudkan semangat satu negara dan persefahaman dalam satu politik yang sama bertujuan untuk mengekalkan perpaduan. Aspek-aspek sosial lain turut dijadikan sebagai satu langkah untuk mengekalkan perpaduan.


Faktor yang mempengaruhi Perpaduan dan Integrasi Nasional


  Sejajar dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani konflik kaum,startegi jangka panjang dalam pemupukan perpaduan kaum mula dirangka. 

  Antara langkah-langkah tersebut ialah penyatuan fahaman politik.Sistem kerajaan campuran(campuran dari segi pelbagai kaum) ini merupakan salah satu cara bagi menggabungkan fahaman politik antara kaum. Contohnya, Kemenangan Parti Perikatan pada tahun 1995 telah membuktikan penggabungan etnik dalam satu badan politik adalah salah satu cara untuk sokongan.

  Selain itu,pertumbuhan ekonomi yang baik juga dapat mengurangkan perbezaan dan tuntutan ekonomi antara semua kaum. Usaha ini dapat dilakukan melalui dasar-dasar pembangunan seperti Rancangan Pembangunan Lima Tahun, Dasar Ekonomi Baru dan lain lain.

  Penyeragaman Sistem Pendidikan juga faktor yang mempengaruhi perpaduan dan integrasi nasional.Semua dasar pelajaran seperti Penyata Barnes, Penyata Fenn Wu, Undang -undang Pelajaran 1992, Penyata Rahman Talib dan lain-lain berperanan memupuk perpaduan.Dasar-dasar tersebut amat penting bagi memastikan sistem pendidikan yang lebih seragam dan menyeluruh.

  Akhir sekali memberi galakan kepada penduduk berhijrah dari satu kawasan ke kawasan lain. Terdapat langkah untuk membolehkan rakyat berpindah dari petempatan masing masing antaranya penyatuan perkhidmatan awam, mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik dan dalam bidang keselamatan.Melalui cara ini penduduk berbilang kaum di satu-satu kawasan boleh menggalakkan pergaulan. 

     

TAHAP HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

    Secara amnya, tahap hubungan etnik di Malaysia boleh diukur sejak zaman penjajahan lagi melalui pelbagai jenis peringkat dan memakan masa yang lama. Perkembangan hubungan etnik di Malaysia bermula dari tahap yang rendah hingga tahap yang tinggi. Terdapat beberapa konsep didalam konteks ini bermula dengan segregasi, akomodasi, akulturasi, asimilasi dan amalgamasi. 

   Tahap yang pertama ialah segregasi. Pada peringkat awal, ia memperlihatkan tahap hubungan antara kaum dan etnik di Tanah Melayu yang bersifat terpisah dan keadaan ini dapat dilihat dengan ketara semasa pendudukan British dahulu. Pemisahan tempat tinggal dapat dilihat melalui tempat tinggal, sistem pendidikan, pekerjaan dan pergaulan. Orang Melayu, Cina dan India hidup secara terpisah kerana perbezaan pekerjaan. Orang Melayu yang hanya berkerja sebagai nelayan dan petani tinggal di kawasan-kawasan kampung dan pesisir pantai. Bagi kaum Cina pula, mereka bekerja sebagai peniaga, pedagang serta pelombong dan kebanyakkan mereka tinggal di kawasan pinggir bandar dan kawasan perlombongan. Kaum India pula bekerja sebagai buruh dan penoreh getah dan kawasan kediaman mereka lebih tertumpu di kawasan estet dan ladang. Bagi sistem pendidikan pula, setiap kaum mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri dan mengikut ideologi mereka sendiri. Setiap sekolah mengikut bahasa ibunda masing-masing. Sekolah Cina dan Sekolah Tamil menggunakan sukatan pelajaran daripada negara asal masing-masing. Formula yang memperlihatkan adanya tembok pemisah antara etnik ialah A/B/C.

    Akomodasi pula  ialah proses di mana setiap kaum atau etnik mula menyedari norma dan nilai yang dimiliki oleh etnik-etnik lain tetapi masih mempertahankan budaya dan nilai hidup masing-masing. Masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain tetap mengamalkan dan mempertahankan budaya hidup mereka mengikut formula A+B+C=A+B+C.

    Akulturasi ialah suatu proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari budaya yang lain. Proses ini tidak menyebabkan kehilangan identiti asal kaum atau etnik yang menerimanya. Hal ini dapat dilihat dari segi pemakanan, pakaian dan sebagainya. Sebagai contoh, pemberian duit raya oleh orang Melayu semasa hari perayaan telah diamalkan orang Cina iaitu budaya memberi ang pau. Begitu juga dengan budaya pemakaian tali leher dalam kalangan semua bangsa di Malaysia yang mengikut budaya orang Barat. Formula bagi konsep ini ialah Abc+Bac+Cab.

    Proses asimilasi pula ialah proses percantuman dan penyatuan etnik membentuk satu kelompok budaya dan identiti yang sama. Proses ini bermakna kumpulan atau budaya sesuatu kumpulan etnik minoriti di sesuatu kawasan akan menerima budaya etnik yang dominan. Proses akan berlaku apabila etnik mempunyai budaya yang berbeza di sesuatu kawasan, etnik-etnik sentiasa berinteraksi yang berlaku dalam tempoh yang panjang. Sebagai contoh yang sangat dapat dilihat ialah masyarakat Melayu di Thailand, masyarakat Cina kampung di Kelantan dan masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka. Asimilasi paling berjaya berlaku di negara Indonesia di mana masyarakatnya mempunyai nama yang sama walaupun berlainan etnik.
     
     Tahap yang terakhir ialah proses amalgamasi iaitu proses yang terjadi apabila budaya atau kaum bercampur dan mewujudkan budaya atau ras yang baru. Proses turut melibatkan biologikal iaitu perkahwinan campur antara etnik atau kaum. Sebagai contoh, perkahwinan campur yang berlaku di Malaysia ialah Melayu dan India, Melayu dan Cina dan sebagainya. Wajah Pan Asian merupakan ras yang popular di rantau Asia dan Malaysia. Melalui proses ini, akan terbentuk satu budaya baru.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan